Tip Menguruskan Bagasi yang Banyak Serentak (Di Haramain)
Kadangkala, dalam satu penerbangan, terdapat banyak grup yang terbang bersama dan ditempatkan di hotel yang sama. Keadaan ini selalu berlaku khususnya apabila jemaah menggunakan khidmat pesawat sewa khas seperti Airbus A380, atau pergi menunaikan umrah pada musim sibuk seperti cuti sekolah, atau bulan Ramadhan.
Dalam keadaan begitu banyak beg yang diuruskan serentak, kita memerlukan satu sistem yang jitu, dan dapat mengelakkan atau sekurang-kurangnya meminimakan berlaku kecelaruan bagasi.
Ya, jika kita tidak uruskan dengan baik, ada beg yang sepatutnya ke Makkah selama seminggu, namun dihantar pulang ke tanahair!
Bayangkan betapa kecewanya jemaah apabila terpaksa mencari pakaian baru luar dan dalam, seminggu di Makkah.
Jika bagasi yang sepatutnya dihantar pulang ke Malaysia, namun tersesat ke Makkah pula, juga berisiko yang sama. Ada hadiah yang ditunggu-tunggu sanak saudara dan taulan, ada barangan mudah rosak yang dibimbangi musnah tatkala tiba lewat ke tanahair. Mungkin juga ada ubat-ubatan atau dokumen penting yang perlu digunakan semasa di tanahair.
Semua kecelaruan ini, seboleh mungkin perlu dielakkan. Justeru, kita perturunkan tips yang sesuai untuk petugas, mutawwif dan jemaah sekaligus.
Mari kita teliti tip di bawah :
1) Gunakan beg yang dibekalkan oleh agensi semasa. Jika kita pernah menggunakan beg agensi umrah lain sebelum ini, pastikan beg itu ditutup dengan kain. Ini bagi mengelakkan beg kita termasuk ke dalam kumpulan lain jika kebetulan agensi lain itu ada dalam penerbangan yang sama. (Jemaah)
Ikut pengalaman kami, kes seperti ini sangat kerap berlaku. Kerana petugas hotel lebih mudah membezakan kumpulan jemaah berdasarkan warna beg majoriti jemaah dan agensi umrah, berbanding memerhatikan label beg serba satu.
Memakaikan sarung beg itu membuatkan petugas yang menguruskan bagasi meneliti tagging dan label yang ada.
2) Pastikan semua beg berlabel atau bertag. Setiap kumpulan ada namanya, ada mutawwifnya. Letakkan nama kumpulan, nama mutawwif, nama jemaah, nombor telefon jemaah dan nama hotel di destinasi. (Jemaah & Mutawwif)
3) Pastikan label jelas, tidak mudah koyak, terhapus, terpadam atau ditanggalkan. Bagasi yang tidak berlabel lebih mudah tersesat dan lebih sukar dipulangkan kepada pemiliknya jika sudah terpelanting daripada siratal mustaqim.(Jemaah & Mutawwif)
4) Tempat pengumpulan bagasi mesti diasingkan bagi setiap grup. Destinasi atau hotel yang sama, masih boleh dicampur jika ruang sempit. (Petugas)
Namun, perlu dipastikan destinasi yang berbeza atau hotel yang berbeza jangan sampai bercampur. Kerana misalnya di Makkah, jarak di antara satu hotel ke satu hotel agak jauh.
4) Mutawwif dan petugas perlu peka dengan bagasi kumpulan jemaah masing-masing. Jika ada bagasi yang bercampur dari kumpulan lain, segera asingkan. (Mutawwif & Petugas)
5) Bajet masa untuk mengangkut bagasi jemaah yang banyak itu, supaya masa mencukupi. Lihat kekuatan petugas hotel, berapa orang, berapa cekap mereka bekerja, dan jangkakan waktu secukupnya untuk jemaah turunkan bagasi dari bilik dan mengumpulkannya di tempat yang ditentukan oleh petugas hotel. (Petugas)
6) Dapatkan maklumat jangkaan ketibaan bas ke hotel. Jika perlu bas datang lebih awal untuk mengangkut beg, uruskanlah. Sebab, pada waktu berangkat ke Makkah/Madinah ataupun pulang melalui airport, ada ketikanya waktu tidak cukup jika mahu mengambil jemaah dan mengangkut bagasi serentak. (Petugas)
7) Sekiranya perlu pulang melalui airport, lihat jangkaan waktu berlepas, tempoh perjalanan dari hotel ke airport, tempoh bas parking di hadapan hotel untuk mengangkut jemaah dan bagasi, tempoh waktu jemaah bersolat, tempoh waktu jemaah makan, tempoh masa jemaah perlu mengosongkan bilik dan sebagainya. (Petugas)
Semua ini perlu dipertimbangkan sewajarnya dan disusun masanya dengan baik supaya tidak berlaku kelam kabut semasa hari sebenar.
8) Petugas perlu pantau pergerakan beg masuk ke dalam bas dan bekerjasama dengan petugas hotel dan pemandu bas. Pastikan pekerja hotel tahu tugas mereka, dan pemandu bas menyediakan ruang storan. Tampalkan maklumat grup pada setiap bas. (Mutawwif & Petugas)
9) Berhubung langsung dengan petugas atau wakil syarikat yang menguruskan kemasukan daftar masuk jemaah dan bagasi di airport, bagi memastikan masa tepat, jumlah bagasi dan air zamzam yang mencukupi, dan perjalanan dari hotel ke airport lancar. (Mutawwif & Petugas)
10) Sediakan flow dan aturcara waktu pergerakan jemaah, mutawwif, bagasi dan bas supaya semua mengetahui waktu masing-masing dan dapat bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. (Petugas)
Fuh...
Banyak betul SOP nya.
Memang banyak. Tapi jika dilaksanakan dengan betul, memang smooth sahaja pergerakan beg-beg ini. Bayangkan ratusan beg itu akan masuk dalam bas dan mendarat di destinasi dengan sempurna.
Abu Ahnaf
Rindu nak angkat beg
Comments
Post a Comment