Aduh! Pening Kepala dengan Kerenah Jiran Bilik Hotel
TIP HADAPI JIRAN HOTEL YANG BANYAK KERENAH
Tidak semua pengalaman semasa menunaikan haji dan umrah yang manis-manis.
Setiap orang ada ujian masing-masing. Sebab perjalanan haji dan umrah itu memang satu bentuk ujian ke atas kita.
Ada yang bermasalah dengan rakan sebilik.
Ada yang bermasalah dengan mutawwif.
Ada yang hadapi ujian dengan syarikat agensi masing-masing.
Ada pula yang ditimpa musibah kehilangan dan kemalangan.
Ada juga yang jatuh sakit.
Bahkan ada yang punya masalah diri sendiri sehingga jadi gila dan sebagainya.
Perkara ini memang lumrah. Kali ini kita akan bercerita berkenaan masalah dengan jiran bilik kita di hotel.
Agak jarang jemaah kita mempunyai masalah dengan jiran bilik di hotel. Antara masalah yang berlaku yang melibatkan jiran hotel ini, ialah :
1) Jiran buat bising sehingga mengganggu waktu tidur.
2) Jiran tidak jaga kebersihan dan mengganggu privasi.
3) Jiran pecah masuk ke bilik dan mencuri barangan.
4) Jiran membuat gangguan seksual.
Apa? Di Tanah Suci pun ada orang buat gangguan seksual? Ada ya, tuan puan. Sebab itu, apabila kita memilih hotel, perlu pilih yang terbaik. Mari kita lihat bagaimana nak hadapi situasi seperti ini.
Tip Hadapi Kerenah Jiran Hotel.
1) Pepatah Arab menyebut, "Carilah teman sebelum bermusafir. Carilah jiran sebelum duduk menetap." Maksudnya, kita perlu cari jiran yang sesuai, sebelum kita menetap.
Siapa yang pilihkan hotel untuk kita? Tentulah syarikat pengendali jemaah haji atau umrah.
Bagi jemaah haji, tidak ada masalah sangat, sebab majoriti hotel yang ditempati oleh jemaah haji, semuanya adalah jemaah haji Malaysia. Jadi, isu jiran bilik tidak selalu berlaku.
Bagi jemaah umrah, hal ini sangat bergantung kepada syarikat agensi umrah yang kita pilih. Pilihan terbaik adalah apabila hotel yang kita duduk itu hanya ditempati oleh jemaah dari negara yang sama.
Hal ini dapat mengelak pertembungan budaya di antara jemaah berbeza negara.
Hal ini sebenarnya sukar dilakukan, sebab syarikat perlukan jemaah yang ramai atau perlu memajak hotel jika mahukan hanya jemaah senegara sahaja di satu hotel. Syarikat Andalusia pernah melaksanakan dasar ini dahulu kerana banyak kelebihan apabila hanya jemaah Malaysia di satu hotel.
2) Apabila merasa terganggu, kita boleh sahaja menegur secara langsung kepada jemaah terbabit. Jika kita tidak berani, kita boleh sampaikan kepada mutawwif atau petugas syarikat agensi umrah yang ada di hotel.
3) Petugas akan menyampaikan kepada petugas hotel. Sekiranya kes-kes yang melibatkan sekuriti atau perlukan melihat rakaman CCTV, kita perlu memberitahu secepat mungkin kepada petugas hotel. Hal ini kerana kebanyakan hotel tidak menyimpan data CCTV lebih daripada 3 hari. Ada juga yang sesingkat 24 jam sahaja. Justeru, sangat penting melaporkan kepada petugas hotel dengan segera.
4) Sekiranya kes melibatkan polis, nauzubillah, kebiasannya urusan akan lebih rumit. Jemaah perlu mempunyai bukti kukuh, dan perlu membuat laporan polis. Urusannya akan lebih panjang dan mungkin memakan masa berhari-hari. Sebab itu, ramai jemaah yang menghadapi kes kehilangan dan sebagainya, selalu mengambil keputusan redha dengan situasi dan move on.
Pada pendapat saya, jika kes itu melibatkan sesuatu yang sangat penting seperti kehilangan paspot atau maruah, maka perlu diusahakan juga untuk membuat laporan polis.
5) Banyakkan berada di Masjid. Hotel cuma tempat untuk tidur sahaja. Lagipun kita datang jauh-jauh bukan untuk berada hanya di bilik, bukan? Mudah-mudahan Allah menyelesaikan masalah kita.
Ada komen, saranan atau soalan? Boleh ajukan di bahagian komen.
Ini gambar jemaah yang buat piknik depan bilik hotel mereka sehingga mengganggu jiran sebelah menyebelah.
Comments
Post a Comment