Tip Elak Barangan Terlebih Berat
TIP ELAK BARANGAN TERLEBIH BERAT
Ini memang masalah yang selalu berlaku kepada jemaah.
Pada masa datang ke Tanah Suci, memang selalunya ramai mempunyai beg yang kosong.
Ada yang bawa sehelai sepinggang, fokus untuk membeli di sini.
Ada yang bawa cukup-cukup sahaja, jadi apabila shopping di sini, beg tak muat pula.
Akhirnya, beg pun beranak-pinak!
Walaupun beg beranak pinak, tapi kuota berat beg bagi setiap jemaah tetap sama. Tak boleh tambah, melainkan kena bayar lebihan berat beg.
Satu kilo tak murah ya tuan puan. Paling kurang 100riyal. Bergantung kepada jenis airline yang kita naiki.
Ada airline yang memang tak benarkan langsung tambah berat beg. Ada airline yang benarkan hanya sekiranya flight tidak penuh.
Akibatnya, ada barang yang tak dapat bawa balik. Aduhhhh....
Baik, bagi mengelakkan berlaku keadaan seperti ini, jadi, mari kita perturunkan sedikit tip.
1) Jika pada musim haji, kita tak perlu bawa terlalu banyak pakaian. Bawa sabun dan berus, kerana kita boleh cuci pakaian kita setiap beberapa hari. Pakaian yang kita akan gunakan itu sekitar 2-3 pasang. Sekiranya perlu tambahan, boleh dibeli di Tanah Suci.
2) Pada musim haji juga, ada kaunter pengeposan barang yang dibuka untuk para jemaah haji mengirim barangan pulang ke Malaysia. Kaunter ini dibuka seawal beberapa hari jemaah sampai di Madinah atau Makkah. Harganya juga tidak terlalu mahal, iaitu sekitar 16-20 riyal sekilo. Ini pilihan terbaik jika kita terlebih membeli barangan.
3) Jemaah yang masuk ke Madinah dulu, boleh selesaikan pembelian barangan kiriman lebih awal, supaya tak terganggu fokus untuk ibadat semasa di Makkah kelak.
4) Manakala, jemaah yang masuk ke Makkah dahulu pada musim haji, akan pulang dari Madinah. Beberapa hari sebelum pulang atau berangkat ke Madinah, kita boleh poskan barangan peribadi seperti pakaian dan lain-lain terlebih dahulu. Apabila tiba di Madinah, barulah boleh membeli untuk dibawa pulang, misalnya kurma dan pelbagai barangan lain yang tidak ada di Malaysia.
5) Pada musim umrah pula, tempoh berada di Tanah Suci lebih singkat. Jadi, kadangkala pilihan membasuh baju sendiri itu agak kurang relevan sebab kebanyakan hotel tidak menyediakan tempat untuk menggantung pakaian. Kita boleh gunakan perkhidmatan dobi yang disediakan di hotel. Harganya sekitar SR5-6 sehelai baju.
6) Selalunya, pada musim umrah, tiada perkhidmatan pos disediakan. Namun, bermula awal 2020, perkhidmatan Poslaju mula dibuka pada musim umrah. Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Setakat ini perkhidmatan pos hanya dibuka dengan kerjasama pihak syarikat Andalusia sebagai rakan kerjasama utama, di hotel di Madinah. Lihat gambar.
7) Kebanyakan barangan di Tanah Suci, didatangkan dari negara luar, khususnya China. Apabila membeli barangan, fokuskan membeli barangan yang tidak ada di tanahair, ataupun terlalu mahal jika dibeli di tanah air. Tanyalah mutawwif, apa barangan yang sesuai dibeli untuk dibawa pulang.
8) Gunakan kuota rakan-rakan. Dalam grup kita, ada jemaah yang jenis tidak membeli barangan banyak pun. Boleh tumpang kuota mereka jika mereka izinkan. Sebab itu, perlu berbaik-baik dengan jemaah dalam satu kumpulan.
9) Pilih airline yang disewa khas untuk jemaah umrah sepenuhnya, misalnya airline MAS dan sebagainya. Pesawat sewa khas ini, biasanya diisi sepenuhnya oleh jemaah umrah. Dan pada kebiasaannya, pihak airline tidak terlalu berkira dengan berat beg. Lazimnya, beg-beg didaftar masuk secara grouping.
Tip yang dipaparkan ini, tertakluk kepada situasi semasa dan bagaimana perjalanan trip haji atau umrah masing-masing. Ada masanya ia berubah bergantung kepada keadaan dan ketetapan pihak berkuasa, pihak syarikat agensi umrah dan keadaan semasa.
Comments
Post a Comment